Kes Zara Qairina: Para peguam bakal berentap untuk hadir dalam inkues

Pasukan guaman yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan membantah permohonan peguam lima suspek untuk menghadiri inkues yang akan berlangsung esok.

Menurut peguam Rizwandean M Borhan, pasukannya menjangkakan peguam susupek akan memohon sekali lagi untuk hadir sebagai pihak berkepentingan di dalam inkues.

“Dan jika itu berlaku, kami akan bantah sekali lagi, sepertimana sebelum ini. Kita juga memohon untuk hadir sebagai pihak berkepentingan,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Pada hari ini Mahkamah Tinggi mendengar hujah permohonan semakan oleh Persatuan Undang-Undang Sabah dan Jabatan Peguam Negara dan telah mengetepikan arahan yang membolehkan peguam suspek kanak-kanak hadir sebagai pihak berkepentingan di dalam inkues.

Hakim Datuk Duncan Sikodol turut mengarahkan peguam suspek kanak-kanak untuk mengemukakan permohonan baharu sebagai pihak berkepentingan kepada koroner baharu, Amir Shah Amir Hassan.

Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedar diri di pekarangan sekolah tahfiz pada 6 Julai dan meninggal dunia keesokan hari di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

BACA JUGA: Ugutan terhadap TYT Sabah: Polis terima tiga laporan di himpunan solidariti ‘Justice For Zara’