Menjawab cemuhan apa hasil pemimpin kerap ‘berjalan’ ke luar negara
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Mengapa pemimpin majoriti penduduk dunia berada di Beijing sekarang?
Ramai juga orang di dunia ini yang mengutuk pemimpin-pemimpin negara mereka yang dilihat sentiasa “berjalan” ke luar negara. Soalan biasa yang ditanya ialah, “Apakah hasilnya?
Saya tidak pelik dengan soalan ini kerana mereka mungkin menganggap menjaga negara ini macam mereka jaga reban ayam sahaja.
Di antara konsesi yang diumumkan oleh Presiden Probowo ialah menghadkan perjalanan ke luar negara pemimpin-pemimpin Indonesia.
Ini adalah kerana ramai orang yang berdemonsrasi baru-baru ini menganggap ini adalah amalan golongan elit dan membazir.
Ramai yang tidak sedar kita sedang hidup di zaman peralihan kuasa dari dominasi Barat ke satu keadaan baharu di mana tidak ada puak yang benar-benar mendominasi.
Ini berlaku di dalam bentuk politik, ekonomi, teknologi dan juga institusi-institusi dunia.
Kemunafikan Barat sudah tidak boleh diselindungi lagi. Sikap mereka ke atas perang Russia-Ukraine dan pemembinatangan Israel-Palestine amat jelas.
Tarif Donald Trump yang baharu diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Rayuan Amerika juga menjadikan pelbagai negara di dunia mengira-gira semula strategi perdagangan antarabangsa masing-masing.
Persidangan Shanghai Cooperation Organisation baru sahaja berlangsung di Tianjin, China.
Walaupun keahlian badan kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan Eropah-Asia ini masih terhad kepada negara-negara yang cenderung kepada Russia dan China, ada banyak juga perwakilan dari negara-negara sahabat seperti Asean yang hadir.
Di sinilah pemimpin-pemimpin dari Russia, China, India dan Iran bertemu selepas persidangan Amerika-Russia di Alaska baru-baru ini.
Apa berita yang Putin bawa? Manalah saya tahu. Yang pentingnya, jika dicampur jumlah penduduk yang diwakili oleh mereka, ianya adalah majoriti penduduk dunia.
Besok, mereka akan menghadiri perayaan kemenangan China di dalam Perang Dunia ke-2 di Beijing.
Ini sebenarnya adalah satu detik penting kerana China mula mengorak langkah untuk menjadi negara sahabat yang lebih stabil dari Amerika yang semakin memaksa orang lain mengikut telunjuknya.
Sudah tentu Donald Trump dan kuncu-kuncunya akan memerhatikan siapakah yang hadir di Beijing dan apakah tekanan yang akan dikenakan ke atas negara-negara ini.
Ini bukannya kehadiran sekadar berjalan-jalan seperti yang dianggap oleh orang-orang yang menganggap menjaga negara sama seperti menjaga reban ayam. Kehadiran di sini memerlukan pemikiran strategik dan juga keberanian.
Apa yang lebih penting ialah langkah-langkah yang diambil oleh sektor swasta di dalam mengorak langkah akar kita tidak dijajah di dalam aspek-aspek ekonomi, teknologi, kewangan dan pelbagai aspek kemanusiaan moden yang kritikal.
Ini memerlukan usaha, bukan sekadar melaung “Aku nak menjaga maruah dan harta kita”. Itu hanyalah mainan mulut orang-orang yang banyak cakapnya tetapi kosong hasilnya.
Mereka berlakon semacam hero tetapi jika kita tanya “Apakah hasil dan sumbangan kamu kepada negeri dan negara?” mereka akan membuka kopiah atau penutup kepala mereka, menggaru-garu kepala sambil menunjukkan muka dek sahaja. Kosong, tak ada bekas.
Babak-babak seterusnya akan menjadi lebih mencabar bukan sahaja kepada kita tetapi kepada negara-negara yang dianggap mencabar Amerika, Eropah dan kuasa-kuasa di belakang blok Barat ini.
Sama ada kita mahu atau tidak, kita kena benar-benar melakukan pelbagai perkara baharu dan berbeza dari apa yang biasa selama ini.
Jika tidak, penjajahan dari segi ekonomi, teknologi dan kewangan akan menjadi lebih teruk.
Dalam perniagaan, CEO adalah “chief” kepada pelbagai perkara seperti pemasaran, komunikasi, strategi dan lain-lain aspek penting perniagaan.
Dia ke sana sini bukan sekadar berjalan nak makan angin sahaja. Dia kena mengeratkan hubungan, membuka pasaran dan menjual “perniagaan” yang dipimpinnya agar perniagaan menjadi lebih berdaya saing dan lestari.
Jika CEO sekadar duduk di dalam bilik sambil mengarah orang itu dan ini, jangan terkejut jika perniagaan menjadi semakin sendu dan tertinggal bas.
Ingat, lagi kompleks apa yang dipimpin, lagi kompleks seni tarinya. Jangan ini, semuanya sama dengan menjaga reban ayam.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA Ugutan terhadap TYT Sabah: Polis terima tiga laporan di himpunan solidariti ‘Justice For Zara’