Walau pembangkang perlekeh SARA, transaksi cecah RM110 juta dalam dua hari

Walaupun pembangkang sebelum ini memperlekeh pemberian bantuan tunai tambahan RM100 menerusi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), transaksi program itu sudah mencecah RM110 juta hanya dalam tempoh dua hari pelaksanaan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima berjaya menyempurnakan pembelian pada 31 Ogos dan 1 September.

Jelasnya, hari kedua pelaksanaan SARA dan penyaluran SARA bulanan mencatatkan lebih 900,000 penerima SARA telah berbelanja lebih RM60 juta di seluruh negara setakat pukul 9.30 malam, 1 September.

Berikutan ledakan transaksi yang direkodkan pada 31 Ogos, peningkatan kapasiti sistem oleh MyKasih membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi diproses semalam, meskipun masih berlaku kesesakan terutama di beberapa pasar raya besar pada waktu puncak.

Petugas MyKasih turut ditempatkan di setiap lokasi untuk membantu penerima serta kelancaran proses penebusan.

Orang ramai turut dinasihatkan merancang pembelian pada waktu bukan puncak, khususnya pada sebelah pagi pada hari bekerja memudahkan urusan transaksi.

Kredit RM100 Penghargaan SARA sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

BACA JUGA Menjawab cemuhan apa hasil pemimpin kerap ‘berjalan’ ke luar negara