Pakar beritahu tubuh Zara hanya boleh jatuh di lokasi ditemui jika melompat atau berhayun
Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa kedudukan tubuh Zara Qairina Mahathir di lokasi penemuan hanya boleh berlaku sekiranya mangsa sama ada melompat atau berpaut pada sesuatu sebelum berhayun dari tingkat tiga asrama.
Pada hari kedua prosiding, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu memberi keterangan bahawa berdasarkan ketinggian Zara, adalah mustahil tubuhnya boleh jatuh di kawasan berhampiran longkang berkenaan jika dia sekadar terjatuh atau melangkah keluar dari palang konkrit bangunan asrama.
“Berdasarkan kedudukan dan lokasi tempat arwah ditemui, dia perlu sama ada melompat atau berpaut pada sesuatu dan berhayun,” kata Dr Hiu.
Beliau menjelaskan, adalah tidak mungkin Zara, 13, boleh jatuh di lokasi sama sekiranya dia sekadar melangkah keluar dari palang konkrit tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Jika seseorang duduk dan terjatuh dari palang itu, dia akan jatuh ke hadapan dan mendarat dengan kepala terlebih dahulu sama ada terus ke dalam longkang atau berhampiran dengannya.
“Dalam keadaan berdiri, sekiranya seseorang melangkah keluar dengan sebelah kaki, tubuh juga akan berpusing dan jatuh dengan kepala dahulu, sama ada ke dalam atau berhampiran longkang.
“Tetapi untuk mendarat dengan kaki dahulu pada jarak tersebut, seseorang perlu berdiri di atas palang dan melompat, atau berpaut pada jeriji besi lalu berhayun sebelum melepaskan diri.”
Terdahulu, Dr Hiu menunjukkan gambar semasa pemeriksaan lokasi pada 2 Ogos lalu dan turut mendemonstrasikan bagaimana ketinggian palang berkenaan, jika dibandingkan dengan ketinggian Zara, menunjukkan mangsa tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dengan mudah.
BACA JUGA Saya tak percaya mesin basuh boleh dihidupkan dengan Zara seberat 53kg