Ini sebabnya AMANAH sokong cadangan Tribunal Anti Buli
AMANAH menyokong penuh cadangan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) untuk mengadakan jerayawara libat urus bagi mendapatkan pandangan semua pihak sebelum Tribunal Anti Buli ditubuhkan.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, pendekatan tersebut akan memastikan dasar yang dirangka benar-benar menyeluruh dan berkesan.
“Kami juga menyokong cadangan penubuhan Tribunal Anti Buli yang akan dibawa ke Kabinet.
“Ia langkah penting bertujuan menyegerakan dasar yang tuntas menangani isu buli yang semakin serius dan meresahkan masyarakat,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pada masa ini, isu buli hanya ditangani di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang lain.
“Namun ia belum mencukupi, terutama untuk melindungi kanak-kanak dan pelajar yang lebih mudah terdedah,” tegasnya.
Justeru, Azli berkata, tribunal tersebut dilihat sebagai mekanisme lebih cepat, mesra kanak-kanak dan tidak membebankan mangsa dengan proses mahkamah yang panjang serta rumit.
“Cadangan ini turut mengambil inspirasi daripada Akta Anti-Gangguan Seksual, dengan memberi fokus kepada penyelesaian restoratif yang bukan sekadar menghukum, tetapi juga mendidik pelaku,” katanya.
Walau bagaimanapun,beliau berkata tribunal sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu disokong dengan pendidikan, advokasi berterusan dan sokongan psikososial untuk mangsa serta keluarga.
“AMANAH percaya Tribunal Anti Buli akan menyemai budaya madani tanpa buli, selari dengan nilai Rahmatan Lil ‘Alamin.
“Dengan itu, AMANAH menegaskan bahawa tiada ruang untuk buli dalam masyarakat MADANI, dan menyokong penuh usaha kerajaan memperkukuh sistem ini demi masa depan generasi muda,” kata Azli lagi.
BACA JUGA Ishiba letak jawatan selepas kekalahan berganda