Ishiba letak jawatan selepas kekalahan berganda
Perdana Menteri Jepun mengumumkan peletakan jawatan selepas gabungan pemerintah pimpinannya mengalami kekalahan besar dalam dua pilihan raya berturut-turut.
Shigeru Ishiba, 68, yang memegang jawatan sejak Oktober tahun lalu, menyatakan keputusan itu dibuat bagi mengelakkan perpecahan dalaman dalam Parti Demokratik Liberal (LDP).
Beliau berkata, keputusan tersebut juga membolehkan generasi baharu mengambil alih kepimpinan.
Keputusan itu juga sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negara ekonomi keempat terbesar dunia itu.
“Kita telah melepasi halangan utama dengan termeterainya perjanjian perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS).
“Kini, tiba masanya saya menyerahkan baton kepada pemimpin seterusnya,” katanya dengan nada sebak dalam sidang media, hari ini, lapor Reuters.
Selain kekalahan berganda LDP dalam pilihan raya, rakyat juga berang dengan kos sara hidup yang meningkat serta tarif perdagangan AS yang memberi kesan terhadap industri automotif Jepun.
BACA JUGA Penerima SARA RM100 gembira zahirkan rasa syukur