Karma untuk Mahiaddin…dulu punca Langkah Sheraton kini ditikam dari belakang

Tiada apa yang pelik apabila wujud komplot untuk menjatuhkan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebagai Presiden Bersatu.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, malah tidak ada yang pelik apabila wujud surat layang sewaktu Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang mahu Mahiaddin meletakkan jawatan.

Kata beliau, apa yang perlu dilakukan Mahiaddin adalah duduk sejenak dan muhasabah diri bagaimana beliau sendiri pernah menggerakkan Langkah Sheraton untuk merampas kuasa Putrajaya.

“Tidak ada yang pelik apabila Tan Sri Muhyiddin mendakwa ada gerakan mengutip tandatangan untuk mendesak beliau turun dari mengemudi Bersatu.

“Tiada yang pelik apabila seolah-olah ada komplot digerakkan bagi menjatuhkan Mahiaddin dalam parti.

“Tidak perlu terkejut apabila 120 Ketua Bahagian Bersatu kemuka SD mahu Mahiaddin berundur.

“Mahiaddin hanya perlu duduk sejenak, mengimbau dan muhasabah diri; bagaimana Langkah Sheraton yang beliau turut sama gerakkan sehingga berlaku rampasan kuasa pada Mac 2020. Sedangkan beliau sendiri sebahagian dari kerajaan yang dibentuk pada 2018 itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sheikh Umar berkata, dalam keadaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sanggup menikan rakan sendiri yang sama-sama berjuang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, mana mungkin beliau boleh selamat dari ‘pisau’ tersembunyi di belakang tangan rakan-rakan Bersatu.

Apatah lagi katanya, rakan-rakan Mahiaddin semuanya mempunyai rekod membawa lari sokongan Ahli Parlimen sehingga sanggup mengkhianati parti.

“Setakat memangkas presiden sendiri, apalah sangat.

“Setiap tindakan kita akan dibalas. Jika bukan hari ini, mungkin esok mungkin lusa. Jika bukan sekarang, lambat laun akan sampai masanya. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.

“Setengah orang menyebut ini sebagai karma,” katanya lagi.

Perhimpunan Bersatu pada Sabtu lalu kecoh apabila Mahiaddin mendakwa ada komplot mengumpul tandatangan termasuk SD bagi menjatuhkannya sebagai presiden.

Keadaan menjadi tegang apabila ada perwakilan melaungkan “turun Tan Sri” sebagai reaksi terhadap ucapan Mahiaddin.

Media melaporkan lebih 120 ketua bahagian telah menandatangani SD mendesak Mahiaddin menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada penggantinya.

Malah dakwanya, majoriti pemimpin akar umbi juga tidak bersetuju dengan usul menamakan Mahiaddin sebagai calon perdana menteri.

BACA JUGA PMX adalah penaung Sumud Nusantara, umum Nadir AL Nuri kepada peserta