PMX adalah penaung Sumud Nusantara, umum Nadir AL Nuri kepada peserta

Aktivis Kemanusiaan, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengumumkan, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah patron (penaung) untuk misi Sumud Nusantara.

Sumud Nusantara merupakan sebahagian daripada konvoi kemanusiaan global yang membawa mesej solidariti ke Gaza melibatkan aktivis lebih dari 44 buah negara.

“Kita boleh berbangga sebagai rakyat Malaysia. Kita nak beritahu kepada semua bahawa patron (penaung) bagi Sumud Nusantara, atau kepulauan Melayu, adalah Perdana Menteri kita sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beliau bukan sahaja bersetuju menjadi penaung, tetapi juga mengumumkan pakej bernilai RM24 juta untuk Palestin daripada Malaysia,” katanya ketika berucap kepada para peserta semalam.

Lebih 50 kapal dari seluruh dunia kini belayar ke Gaza bagi mencabar sekatan haram Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan mendesak kepada penduduk Palestin yang berdepan kebuluran.

Menurut penganjur, Flotila Global Sumud ini merupakan misi maritim terbesar ke Gaza, menghimpunkan delegasi dari sekurang-kurangnya 44 negara merentasi enam benua termasuk Australia, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara Eropah.

Untuk rekod sejak 2007, Israel mengawal ketat ruang udara dan perairan Gaza, menjadikan laluan darat dan udara hampir mustahil digunakan.

Flotila kemanusiaan dianggap satu-satunya cara mencabar sekatan itu secara langsung selain menyampaikan mesej bahawa kepungan mesti ditamatkan.

Flotila Global Sumud kali ini adalah simbol solidariti rakyat antarabangsa, menuntut sekatan ke atas Gaza dihentikan serta menamatkan penderitaan berjuta penduduk Palestin.

BACA JUGA Penyanyi ‘Sobar Bea’ cerita pengalaman duduk dalam penjara Thailand, 50 sebilik