Fadhlina buat laporan polis, MCMC selepas difitnah kononnya sepupu pengetua sekolah Zara
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan fitnah yang mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Menerusi hantaran di Facebook, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, berkata, beberapa individu cuba mengaitkannya dengan pengetua sekolah tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir belajar itu.
“Akhir-akhir ini, banyak sekali fitnah direkayasa secara liar dan jahat, serta menyebarkan kebencian. Setakat menepis dan menafikan, ternyata tidak menjadi pengajaran.
“Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya.
“Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” tegas anak kepada tokoh intelektual Islam, Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil itu.
Terdahulu, dilaporkan pengetua berkenaan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden sekolah itu telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis ke atas kes Zara selesai.

Fadhlina dalam hantaran sama turut berkongsi komen warganet yang mendakwa beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan pengetua terbabit.
Pemimpin PKR itu menegaskan tindakan undang-undang akan diambil dan berharap perkara itu menjadi pengajaran agar orang ramai tidak membuat spekulasi.
“Hormati keluarga Allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” kata beliau lagi.
BACA JUGA 120 akuan bersumpah dalam Bersatu bukan menolak Muhyiddin?