Malaysia berjaya dapatkan semula RM39 juta aset berkait Jho Low

Kerajaan Malaysia dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura telah berjaya memulihkan aset yang dikaitkan dengan ahli perniagaan diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dan ahli keluarganya ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

Pemulihan aset ini yang berjumlah USD 8.57 juta (RM39.1 juta) adalah hasil daripada usaha penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan oleh Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat.

Selain itu, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat.

Menurut SPRM, pemulangan terbaru ini serta penyelesaian sebanyak USD 330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase & Co. baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia daripada kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion.

Pada 26 Jun 2024, DOJ Amerika Syarikat telah mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi USD 100 juta.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih USD 1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dikembalikan kepada Malaysia.

Kejayaan pemulihan ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Malaysia melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) yang diketuai SPRM, dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama erat pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA).

Kes 1MDB adalah antara jenayah kewangan terbesar dunia. Kerajaan Malaysia menegaskan komitmen untuk membawa pulang wang dan aset yang telah diselewengkan serta memastikan semua individu dan institusi yang terlibat dipertanggungjawabkan.

BACA JUGA Mengapa ada kes berprofil tinggi termasuk Ismail Sabri selesai dengan kompaun? Ini penjelasannya