Poster tular papar tarikh PRN Sabah tidak benar – SPR
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan poster tular di media sosial yang mendedahkan mengenai tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN 17) Sabah.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, poster tular itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
Beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh-tarikh penting bagi PRU tersebut.
“Pihak SPR ingin menegaskan bahawa maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh-tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu laman portal rasmi SPR, sidang media dan kenyataan media.
“Penyebaran maklumat palsu seumpama ini merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang didapati menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain yang berkaitan.
SPR menyeru orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang maklumat yang tidak sahih.
Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya daripada saluran rasmi SPR.
BACA JUGA Mengapa ada kes berprofil tinggi termasuk Ismail Sabri selesai dengan kompaun? Ini penjelasannya