Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) masih diamalkankah?
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa pendekatan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) tidak digunakan oleh kerajaan.
NBOS ialah pendekatan yang diperkenalkan sewaktu pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
“Seiring dengan keperluan semasa dan aspirasi Malaysia MADANI, pendekatan NBOS telah digantikan dengan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang diperkenalkan pada tahun 2024 sebagai rangka kerja baharu reformasi sektor awam.
“Pendekatan ARPA berpaksikan konsep Whole-of-Government (WoG) dan Whole-of-Nation (WoN), iaitu semua kementerian, agensi, sector swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan digembleng secara kolektif.”
Menurut Fadillah, pendekatan ARPA memastikan pelaksanaan dasar tidak bersifat silo sebaliknya dilaksanakan secara kolaboratif dan inklusif.
ARPA mempunyai lima Teras Keberhasilan Reformasi iaitu:
a. Penghayatan Nilai dan Tatakelola – memupuk nilai-nilai murni, integriti dan akauntabiliti dalam tadbir urus kerajaan;
b. Pembangunan Modal Insan – memperkukuh kompetensi, pengetahuan dan kemahiran penjawat awam bagi memenuhi tuntutan perkhidmatan yang dinamik;
c. Pembangunan Organisasi – melaksanakan penstrukturan semula organisasi dan rasionalisasi agensi untuk meningkatkan keberkesanan operasi;
d. Penyampaian Perkhidmatan – memperbaiki sistem, prosedur dan kualiti penyampaian perkhidmatan berteraskan keperluan rakyat; dan
e. Sinergi Awam dan Swasta – mengukuhkan kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan entiti berkaitan kerajaan bagi mencapai keberhasilan bersama.
Terdapat 20 Strategi Keberhasilan Reformasi sebagai pemacu yang menyokong TKR.
Selain itu Reformasi Kerenah Birokrasi telah mula diamalkan sejak November 2024.
RKB ialah ialah salah satu inisiatif di bawah TKR Pembangunan Organisasi.
Pelaksanaan RKB berkesan kerana melonjakkan kedudukan Malaysia dalam pelbagai penarafan antarabangsa termasuk IMD World Competitiveness Ranking (WCR) (36 pada 2024 → 23 pada 2025), Blavatnik Index of Public Administration, World Bank B- READY, serta Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
BACA JUGA: Mengapa ada kes berprofil tinggi termasuk Ismail Sabri selesai dengan kompaun? Ini penjelasannya