Rafizi dedah cubaan diugut guna video palsu, pengirim tuntut AS$100,000

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya dan seorang lelaki yang dikirim melalui satu e-mel tidak dikenali, semalam.

Ahli Parlimen Pandan berkenaan berkata pengirim terbabit turut memeras ugut wang AS$100,000 (kira-kira RM420,000) sekiranya tidak mahu video berkenaan disebarkan.

“Dia bagi screenshot (tangkap layar) video siap bagi kod QR kononnya untuk pindahkan wang.

Screenshot (tangkap layar) video itu nampak seperti seorang lelaki di katil bilik dan setting (tetapan) kabur macam video yang pernah ada dahulu… cuma nampak macam muka saya ada di situ,” katanya melalui kenyataan di media sosial hari ini.

Mantan Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau percaya video tersebut adalah bahan lama yang disunting semula bertujuan untuk menggodam peranti elektronik miliknya dan membuat fitnah lebih besar.

“Sebenarnya saya selalu berhadapan cubaan menggodam telefon, laptop (komputer riba) dan macam-macam lagi.

“Cubaan paling berbahaya menggunakan firma antarabangsa dan cuba menggodam iPhone serta akaun Apple saya.

“Cuma ciri keselamatan iPhone ini lebih baik dan bila ada cubaan, maka Apple akan terus beri arahan untuk menutup telefon serta peranti lain yang berkaitan,” katanya.

Rafizi menambah, sudah empat kali beliau menjadi sasaran penggodam dalam tempoh sembilan bulan iaitu pada 14 November 2024, selain 6 Mac, 25 Jun serta 3 September tahun ini.

BACA JUGA Mengaku pun kerajaan PN luluskan, calon PMXI ini kena kecam isu Kg Sungai Baru