Perbadanan Kg Baru sahkan persatuan penduduk cari pemaju untuk pembangunan

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru menyenaraikan beberapa soalan dan jawapan mengenai latar belakang projek Pembangunan Kampung Sungai Baru yang agak menjadi kontroversi kini.

Dalam satu ‘Frequently Ask Question’ (FAQ), perbadanan menjawab mengapa pihak kerajaan tidak campur tangan dari awal projek ini dilaksanakan.

Menurutnya, projek ini merupakan inisiatif kerjasama swasta di antara pemilik lot teres dan unit flat PKNS Sungai Baru dengan pihak pemaju.

Persatuan pemilik (Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru) telah menjalankan inisiatif sendiri untuk mendapatkan pemaju tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Justeru, pihak kerajaan tidak mempunyai kepentingan ke atas projek ini

Malah katanya, kerajaan telah memudahcara dan melaksanakan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan bagi memastikan pemaju menunaikan tanggungjawab mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Ia juga menjawab beberapa soalan lain mengenai adakah Kampung Sungai Baru terletak dalam kawasan rezab Melayu dan bila sebenarnya warta pengambilan tanah dikeluarkan.

Apakah peranan PKB sebagai agensi kerajaan dalam projek-projek pembangunan semula di Kampong Bharu?

PKB membantu menjadi pemudah cara / fasilitator kepada semua pihak berkepentingan selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 [Akta 733] agar pembangunan semula ini berjalan dengan lancar serta setiap pihak mendapat faedah yang maksimum dari aktiviti pembangunan yang dijalankan.

Adakah Kampung Sungai Baru terletak di dalam Malay Agricultural Settlement (M.A.S.)?

Tidak. Berdasarkan rekod pada geran, Kampung Sungai Baru tidak mempunyai endorsan kawasan M.A.S dan pegangan tanah di Kampung Sungai Baru adalah pajakan 99 tahun.

Siapakah pemaju asal Kampung Sungai Baru?

Pembangunan kawasan ini pada asalnya telah dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sekitar tahun 1970.

Bila warta pengambilan tanah dikeluarkan?

Pada 21 Jun 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan No. 9412 [Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960].

BACA JUGA Pemuda Pas patut letak nama Shahidan, Annuar dalam pasukan sokong pengambilan tanah