Pas muflis idea, hanya jual mimpi tapi Madani tawarkan masa depan

Parti Amanah Negara (AMANAH) menempelak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sekali lagi menunjukkan betapa politik parti pembangkang itu sudah muflis idea.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, Abdul Hadi memilih jalan paling mudah dengan melabel, memfitnah, dan menakut-nakutkan rakyat apabila tidak mampu memahami gagasan Malaysia Madani yang berteraskan nilai rahmah, ilmu, kemajuan dan perpaduan.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan kegelisahan Pas apabila melihat gagasan Malaysia Madani semakin diterima rakyat kerana ia berteraskan dasar, pelan, dan tindakan nyata bukan sekadar retorik dan janji kosong.

“Hakikatnya yang bercakap tentang “tipu rakyat” inilah orang yang paling banyak menabur janji bulan dan bintang tetapi akhirnya meninggalkan rakyat dalam kegelapan.

“Dari isu “menjadi kerajaan untuk semua” sehinggalah janji membela orang miskin, semuanya hanyalah slogan kosong tanpa isi itu sebenar-benarnya alat penipuan politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa slogan ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya dijadikan alat untuk menipu rakyat.

Mengecam konsep ‘Madani’, Hadi semasa Ucapan Dasar pada Muktamar Pas ke-71, di Alor Setar, semalam, mengumumkan tema muktamar iaitu ‘Kembali Kepada Penyelesaian Islam’.

Masuk neraka

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan bahawa Malaysia Madani bukan sekadar slogan kata-kata, tetapi pendekatan menyeluruh yang menterjemahkan nilai rahmah, keadilan, dan keberanian membuat perubahan.

Berbeza dengan Pas, tegasnya, parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu terus mengulangi dengan ketakutan jika tidak menyokong Pas masuk neraka dan sokong Pas masuk syurga, tetapi gagal menyediakan keadilan dan kesejahteraan di bumi.

“Tan Sri Hj Hadi Awang tidak pernah menjelaskan kepada rakyat, apa sebenarnya tawaran Pas selain ceramah politik berulang-ulang, politik dendam, dan hukum-hakam agama yang hanya digunakan untuk menghalalkan kuasa.

“Inilah wajah politik sempit yang menyempitkan masa depan negara,” jelasnya.

Sebaliknya, kata Mahfuz, Malaysia Madani adalah dasar yang hadir dengan belanjawan, dasar ekonomi, pendidikan, kesejahteraan sosial dan diplomasi antarabangsa yang nyata.

“Pas pula hadir dengan khutbah politik yang semakin tidak laku. Madani membina, Pas meruntuh.

“Madani mengurus, Pas mengelak tanggungjawab. Madani menawarkan masa depan, Pas hanya menjual mimpi.

“Madani bina negara, Haji Hadi bina alasan. Madani bawa dasar, Pas bawa dendam. Jadi, siapa sebenarnya yang menipu rakyat?” tempelak Mahfuz lagi.

BACA JUGA PM Anwar dianugerah Imam Khalifah Agong, RM2 juta gerakkan Pendekar Madani