Sesi ‘londeh melondeh’ Pas, Bersatu dah mula – Lokman
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata sesi “londeh melondeh” antara Pas dan Bersatu sudah bermula.
Beliau merujuk kenyataan bekas pegawai Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang mengingatkan Datuk Seri Sanusi Md Nor, bahawa Bersatu telah menanggung kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga memberi peluang kepada Pas memenangi 43 kerusi Parlimen.
Lokman berkata, jika bekas pegawai Mahiaddin tidak mendedahkan perkara itu pun, mereka sudah tahu Pas sejak dulu mengkhianati UMNO kerana mahu mengejar dana pilihan raya dari Mahiaddin.
“Sesi londeh melondeh sudah bermula. Kalau Marzuki, Mantan Setpol Mahiaddin tidak dedahkan pun kita tahu memang Pas khianat UMNO dulu sebab kejar dana pilihan raya dan jawatan dari Mahiaddin.
“Kali ini baru kamu rasa macam mana UMNO dikhianati oleh Pas kerana mengejar dunia,” katanya di Facebook.
Terdahulu Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Pas mendakwa parti komponen PN banyak bergantung kepada jentera parti dan kewangan partinya untuk bertanding dalam pilihan raya.
Menteri Besar Kedah itu berkata ada parti yang “mai bertanding syok saja” dan dibantu oleh Pas.
Susulan itu bekas ketua setiausaha sulit Mahiaddin, Marzuki Mohamad tampil mendedahkan bagaimana Bersatu mengeluarkan dana yang bukan sedikit untuk membantu Pas.
Dalam pada itu Lokman berkata, “tiada istilah setiakawan, sahabat atau senang susah bersama bagi pak lebai-pak lebai ini semua.
“Semoga ianya menjadi pengajaran bagi sesiapa jua yang mula nak mengangkat Pas sebagai kawan,” ujarnya.
BACA JUGA Nak ‘gegar’ Pulau Pinang? DAP tak goyah, rekod DAP lebih kukuh dari retorik Pas