Ini sebabnya UMNO Batu putus kerjasama dengan PH Wilayah Persekutuan
UMNO Bahagian Batu mengumumkan keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di kawasan Batu dan Wilayah Persekutuan (WP).
Menurut Ketua Bahagiannya, Datuk Gulam Muszaffar, keputusan itu diambil selepas mendakwa berlaku layanan berat sebelah terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di WP.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO WP menyifatkan keadaan itu sebagai tidak menghormati kedudukan UMNO sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, kuota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang pada awalnya diperuntukkan kepada UMNO diberikan kepada PH, selain tiada peruntukan diterima setiap kali UMNO mengadakan program.
“Kalau hendak berkawan, biarlah seperti kawan.
“Jangan pula cuba mencampuri urusan kuota yang menjadi hak kami,” katanya, dipetik Berita Harian.
Gulam berkata, sebelum ini UMNO Bahagian Batu sudah mengadakan pertemuan dengan setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan berhubung isu pelantikan semula MPP dan agihan kuota.
Hasil pertemuan itu, ujarnya, dipersetujui BN akan menerima satu kuota bagi setiap kawasan Parlimen dan perkara itu turut dimuktamadkan dalam pekeliling rasmi.
Namun sebaliknya berlaku, kata Gulam, apabila menteri memberi semua enam kuota itu kepada PH.
“Kalau mereka hendak beri lima kuota kepada mana-mana pihak dalam PKR, itu hak mereka.
“Tetapi kenapa perlu usik kuota BN? Itu jelas tidak adil,” tegas bekas ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan itu lagi.
BACA JUGA Mat Sabu tuai bawang di perkarangan rumah