Sifar toleransi buli: Tanggungjawab bersama di bawah Kerajaan Madani
OLEH A. ZAHID
Di bawah Kerajaan Madani, usaha membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing tidak boleh dipisahkan daripada isu keselamatan pelajar di sekolah.
Apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan dasar sifar toleransi terhadap sebarang bentuk buli, mesej yang jelas dihantar kepada semua pihak bahawa tiada ruang untuk budaya ganas, menindas dan memperlekehkan sesama rakan di alam persekolahan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, baru-baru ini menekankan bahawa usaha membanteras gejala buli tidak boleh bersifat bermusim.
Ia adalah perjuangan berpanjangan yang memerlukan garis panduan jelas, penguatkuasaan tegas, dan sokongan masyarakat.
Malah, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas sebagai panduan prosedur menangani kes buli. Tetapi dokumen semata-mata tidak mencukupi kerana pelaksanaan dan pemantauan adalah kunci kejayaan.
Apa yang lebih penting ialah kesedaran bahawa sekolah bukanlah institusi terasing. Ia adalah cerminan masyarakat.
Apabila wujud budaya buli di sekolah, ia menggambarkan adanya kelompongan dalam pembinaan nilai murni di rumah, di media sosial, bahkan di ruang awam kita.
Justeru, ibu bapa, guru, komuniti setempat serta pihak berkuasa mesti bersama-sama berganding bahu.
Pendekatan Kerajaan Madani menekankan nilai ihsan dan kepedulian sosial. Inilah asas yang perlu diterapkan dalam menangani buli.
Anak-anak kita tidak sekadar perlu dididik dengan pengetahuan akademik, tetapi juga dengan empati, disiplin, dan hormat-menghormati.
Dalam era digital, buli bukan lagi berlaku secara fizikal sahaja, tetapi juga melalui ruang maya. Oleh itu, budaya sifar toleransi mesti meliputi “cyberbullying” yang semakin meruncing.
Sekiranya dasar ini dilaksanakan dengan konsisten, ia bukan sahaja melindungi pelajar, malah membina suasana sekolah yang kondusif dan selamat.
Kita tidak boleh membiarkan satu lagi generasi trauma kerana dibuli, atau lebih parah, kehilangan nyawa akibat kegagalan kita bertindak.
Budaya sifar toleransi terhadap buli adalah batu asas penting.
Ia menunjukkan bahawa di bawah Kerajaan Madani, setiap anak Malaysia bukan sahaja berhak mendapat pendidikan yang baik, tetapi juga dijamin haknya untuk belajar dalam suasana yang selamat dan bermaruah.
BACA JUGA PN politik buruk siku, suka ungkit mengungkit