Mayat lelaki ditemui di tepi sungai sah Pengarah animasi Ejen Ali

Pengarah animasi filem Ejen Ali, Andi Abdul Ghani Kadir, ditemukan maut di tepi sungai di Kampung Batu Putih, semalam selepas dipercayai hilang kelmarin pada jam 11.25 pagi.

Menurut laporan media, Andi berusia 41 tahun bersama isterinya 33 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, kenderaan dipandu isterinya hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan Andi kemudian dikatakan keluar sebelum kali terakhir dilihat di jambatan sungai Kampung Batu Putih.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 petang kelmarin mengenai kejadian itu sebelum menghantar empat anggota ke tempat kejadian.

“Jarak tempat dengan balai bomba adalah sejauh 23 kilometer. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebelum ditangguhkan pada jam 6.52 petang dan disambung semula pagi tadi (semalam). 

“Mangsa kemudian ditemui pasukan penyelamat di tepi sungai berhampiran lokasi dia dipercayai hilang,” katanya.

BACA JUGA Enam tindakan yang perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa susulan serangan ke atas Global Sumud Flotila