Tak macam penyasaran subsidi RON95 kini, harga petrol naik Jun 2008 paling ‘epik’

Seorang pemerhati politik dan ekonomi, Najib Bakar, mengimbau kembali detik yang dianggap paling ‘epik’ dalam sejarah kenaikan harga petrol negara yang mengejut pada Jun 2008.

Menurutnya, ketika itu kerajaan mengumumkan kenaikan mendadak sebanyak 78 sen seliter, daripada RM1.92 kepada RM2.70.

Pengumuman dibuat pada sebelah petang, tetapi pelaksanaan bermula tengah malam hari yang sama.

Akibatnya, kata beliau, orang ramai berpusu-pusu ke stesen minyak untuk mengisi penuh tangki sebelum harga baharu dikuatkuasakan.

“Boleh bayangkan tak, macam mana panik sekalian manusia? Semua stesen minyak penuh, jem dengan kereta.

“Aku pun tak terkecuali, beratur lama gila kat Shell Cyberjaya, sampai berjam-jam.

“Ada stesen minyak sampai habis stok. Yang dah beratur lama ada yang tak sempat isi. Memang baran habis, ada yang hampir nak merusuh,” katanya.

Najib mengakui bahawa ketika itu, kenaikan harga berlaku tanpa sebarang petunjuk awal dan rakyat benar-benar terkejut dengan lonjakan mendadak tersebut.

Sebaliknya, beliau membandingkan dengan situasi semasa yang jauh berbeza.

Dalam isu penyasaran subsidi RON95, katanya kerajaan telah memberikan isyarat awal sejak 2024.

Malah, jelasnya, dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Oktober 2024, sudah dimaklumkan bahawa subsidi akan disasarkan.

“Sekurang-kurangnya sekarang, rakyat sudah dimaklumkan lebih awal.

“Malah, ada sedikit penurunan harga kepada RM1.99 seliter dengan had subsidi 300 liter, walaupun ada perkara saya tidak setuju tentang mekanisme ini,” jelasnya.

Najib menegaskan, pengalaman getir pada 2008 itu hanya akan benar-benar difahami oleh mereka yang pernah merasai “beratur berjam-jam di stesen minyak, ada yang balik dengan tangki kosong kerana stok habis.”

“Masa tu runner-runner pilkudo sunat laser pakai pampers lagi. Sebab tu depa tak tahu paniknya suasana malam tu,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Kuota BUDI95 diperbaharui hari ini