Umat Palestin pesan bawa nasi lemak dan rendang untuk mereka
Tular klip rakaman video memaparkan pesanan seorang individu dipercayai penduduk di Gaza terhadap sukarelawan konvoi misi kemanusiaan Sumud Nusantara.
Lelaki berkenaan secara berseloroh meminta dibawakan menu popular rakyat Malaysia iaitu nasi lemak dan rendang ke wilayah terkepung oleh rejim zionis itu.
“Salam dari Gaza. Sumud Nusantara, kami tunggu (bantuan) anda di Gaza.
“Jangan lupa bawa nasi lemak dan rendang untuk saya,” katanya ringkas dari kawasan berhampiran pantai.
Rata-rata rakyat Malaysia meluahkan rasa sedih dan menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat berbuat demikian pada masa ini lantaran kejahatan Israel menggempur rombongan kapal atau flotilla serta menculik ratusan aktivis.
Namun, ramai masih optimis bantuan makanan dan ubat-ubatan akan dapat juga disalurkan memandangkan masyarakat antarabangsa semakin celik akan kebiadaban Israel terhadap penduduk Gaza.
“Maaf warga Gaza, hajat hari ini tak kesampaian, insyaa-Allah kami akan usaha sampai benteng zionis ni pecah, warga dunia sedang memerhati, tak lama lagi bantuan akan sampai ke Gaza,” tulis Shah Shafuan.
“Maaf saudara Gaza. Kita dah ikhtiar. Mungkin hari ini nasib tidak menyebelahi kita nak hantar bekalan (makanan, ubat-ubatan, barangan keperluan) ke sana. Insya-Allah suatu hati nanti Allah akan izinkan. Perancangan Allah lebih baik. Hasbunallah Wanikmal Wakil Nikmal Maula Wanikman Nasir (Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung),” kata Linda Rani pula.
Setakat ini, sekurang-kurang 317 aktivis daripada 21 kapal telah diculik oleh tentera Israel berdasarkan data penjejak misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Daripada jumlah itu, 23 aktivis Malaysia telah diculik tentera pengganas Israel selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.
BACA JUGA Sokongan PMX kepada GSF diputar belit, perangai keji pembangkang dibidas