AMANAH perkukuh perpaduan dan fokus hadapi pilihan raya – Faiz Fadzil

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti supaya memperkukuh perpaduan, dan meningkatkan kesetiaan kepada parti.

Berucap pada Himpunan Satu Dekad AMANAH di Stadium Titiwangsa malam tadi, beliau menyeru memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan dan ketahanan parti sepanjang sepuluh tahun penubuhannya membuktikan keupayaan AMANAH untuk terus relevan dalam pentadbiran negara.

“Sepuluh tahun lalu ada yang meramalkan parti ini hanya akan bertahan enam bulan, namun dengan semangat dan perpaduan yang ada, AMANAH bukan sahaja kekal, malah kini menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memimpin negara,” katanya.

Faiz turut mengingatkan bahawa kejayaan parti politik diukur melalui prestasi pilihan raya, dan menekankan pentingnya gerak kerja tersusun di semua peringkat daripada nasional hingga ke cawangan, bagi memastikan pencapaian lebih baik pada masa hadapan.

Tegasnya, empat asas utama yang perlu menjadi pegangan seluruh ahli, iaitu perpaduan, kesetiaan kepada prinsip parti, kerja bersungguh-sungguh, dan fokus kepada kemenangan pilihan raya.

“Kita bukan mahu membina walaun dalam parti ini, tetapi ahli yang setia kepada perjuangan dan prinsip parti,” katanya.

Faiz turut menyeru agar kekuatan organisasi parti terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif dan latihan akar umbi bagi memastikan AMANAH kekal sebagai parti yang berpengaruh serta berdaya saing dalam kerajaan perpaduan.

Menurutnya AMANAH relevan dalam demokrasi hari ini kerana pendekatannya yang bersifat sederhana, progresif dan inklusif dengan agenda rahmat untuk semua.

BACA JUGA Cerita dari Nadir, bagaimana aktivis GSF dilayan tidak perikemanusiaan dalam penjara Israel