Mat Sabu titip penghargaan, seru ahli terus teguh bersama AMANAH

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan Himpunan Satu Dekad AMANAH yang berlangsung di Stadium Titiwangsa semalam adalah simbol kekuatan dan keteguhan perjuangan ahli yang telah menempuh pelbagai cabaran selama sedekad ini.

Beliau mewakili kepimpinan nasional menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli, penyokong, sahabat dan rakyat yang telah hadir dengan penuh keikhlasan serta semangat juang yang membara. 

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga Bang Mat tujukan kepada Sekretariat Sambutan 1 Dekad AMANAH serta seluruh petugas dan sukarelawan yang telah bekerja keras siang dan malam bagi memastikan majlis semalam berjalan lancar. 

“Tidak lupa juga kepada semua pihak, baik individu, badan, dan rakan kerjasama, yang telah menyumbang dalam apa jua bentuk, sama ada tenaga, masa, kewangan mahupun doa. Sesungguhnya tanpa sumbangan semua, kejayaan sambutan ini tidak mungkin dapat direalisasikan,” titipnya dalam satu ucapan penghargaan di Facebook.

Mohamad berkata, sambutan malam tadi adalah sejarah di mana ia adalah tanda permulaan kepada dekad baharu perjuangan AMANAH.

Beliau menyeru para ahli untuk terus menggenggam tangan, memperkukuh saf, dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa masa depan akan lebih gemilang jika semua pihak terus teguh bersama.

BACA JUGA Gandingan PMX–Erdogan: Kerjasama luar biasa dua tokoh yang menyelamatkan