Mufti WP tegur hati-hati keluar kenyataan boleh rendahkan martabat Rasulullah SAW

Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil Noor mengingatkan umat Islam untuk berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merendahkan martabat Nabi Muhammad SAW.

Memetik Bernama, Ahmad Fauwaz memberi peringatan bahawa tindakan menyandarkan sebarang sifat kelemahan kepada Rasulullah SAW adalah tidak betul dan bertentangan dengan asas akidah Islam.

“Dan jangan ada apa-apa sandaran. Walaupun kita mungkin nak ambil semangat, tetapi tidak betul. Contohnya, kita sebut Rasulullah itu seorang yang miskin, tidak boleh.

“Kita menjatuhkan reputasi seorang Rasul yang begitu agung,” katanya menurut Bernama selepas menjadi panel Forum: Bila Boleh Mandi Di Sungai Klang, hari ini.

Difahamkan, beliau mengulas satu hantaran pengguna Facebook yang menyamakan sifat autisme aktivis alam sekitar Greta Thunberg dengan keperibadian Rasulullah SAW yang sekali gus mencetuskan perdebatan. 

Ahmad Fauwaz menasihati individu yang membuat kenyataan sedemikian di media sosial agar perlu segera menarik balik kenyataan terbabit dan bertaubat.

“Mungkin dia sendiri tidak tahu atau jahil, tetapi secara fiqahnya, kita tidak membenarkan mana-mana orang menyandarkan sifat lemah kepada Rasulullah SAW,” katanya lagi.

BACA JUGA MB Terengganu ucap terima kasih kepada kerajaan berjaya bawa pulang aktivis GSF