Semua 23 peserta GSF tiba di Istanbul 8.30 malam tadi, dijangka pulang pada Isnin

Kesemua 23 aktivis Malaysia telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul kira-kira pukul 8.40 malam tadi waktu Malaysia, maklum Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC).

Ketua Pengarahnya, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua aktivis Malaysia selamat mendarat di lapangan terbang Istanbul dengan menaiki pesawat komersil Turkish Airlines yang diurus serta ditaja oleh Kerajaan Turkiye.

Mereka diterbangkan dari Ramon Airport, Israel pada pukul 6.40 petang waktu Malaysia.

Beliau berkata, ketibaan aktivis itu disambut oleh pihak kedutaan Malaysia di Turkiye dan Wisma Putra serta kerajaan Turkiye.

“Mereka bermalam di Istanbul di bawah jemputan dan tajaan kerajaan Turkiye sebelum diterbangkan pulang melalui penerbangan Turkish Airline yang juga ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye,” maklum beliau.

Sani Araby berkata, pihak kerajaan Malaysia yang bersungguh-sungguh berusaha menggunakan hubungan erat diplomatik antabangsa untuk negosiasi ini serta proses mengeluarkan 23 rakyat Malaysia ini.

Ditanya bila aktivis itu akan di bawa pulang ke tanah air, Sani Araby berkata, pihaknya menjangkakan mereka dapat di bawa pulang paling awal Isnin ini.

“Kita semenangnya berhajat untuk membawa aktivis itu terus pulang ke Malaysia malam ini dan kalau boleh kami mahu mereka terus terbang dan besok sampai ke Malaysia. 

“Bagaimanapun, Kerajaan Turkiye sangat berbesar hati untuk memberikan tajaan penginapan hotel di Istanbul,” ujarnya.

BACA JUGA Kejayaan bawa pulang 23 peserta GSF bukti kekuatan diplomasi PM