Wanita muda AMANAH selar Menteri Pelancongan
Wanita AMANAH (WARDA) mengecam tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang membenarkan penyediaan arak dalam satu majlis berkaitan acara kerajaan serta menjalin kerjasama dengan syarikat global Starbucks bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua WARDA Nasional, Masturah Abu Bakar berkata, kenyataan Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing yang menafikan keterlibatan langsung Tourism Malaysia dalam penganjuran majlis itu dengan alasan ia merupakan “inisiatif pihak industri” menunjukkan beliau seolah-olah berlepas tangan daripada tanggungjawab kementerian.
“Fakta bahawa penyediaan arak berlaku dalam ekosistem acara kerajaan tetap mencalar imej Kerajaan Madani dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
WARDA turut menyelar keputusan MOTAC menjalin kerjasama strategik dengan Starbucks bagi menghasilkan barangan eksklusif serta menu “berinspirasi tempatan” dalam kempen promosi pelancongan negara itu.
Menurut Masturah, langkah tersebut tidak peka terhadap sentimen pengguna Muslim, khususnya dalam konteks konflik Palestin-Israel yang masih berlarutan, selain mengabaikan peluang untuk mengetengahkan jenama kopi tempatan yang semakin berkembang.
“Pemilihan rakan kongsi global yang kontroversial ini tidak mencerminkan semangat Malaysia sebenar,” katanya.
Sehubungan itu, WARDA menggesa kerajaan memperketat penguatkuasaan pekeliling yang melarang penyediaan arak di acara rasmi kerajaan, menilai semula kerjasama dengan Starbucks, serta mendesak Tiong membuat permohonan maaf terbuka kepada masyarakat.
BACA JUGA PM Anwar harap hubungan Malaysia–Pakistan terus subur