Diplomasi senyap Malaysia dipuji, 23 aktivis dibebas tanpa saluran rasmi dengan Israel
Malaysia menerima pujian atas kejayaan membawa pulang semua 23 rakyatnya yang ditahan oleh rejim pengganas Israel selepas penyertaan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), hasil diplomasi senyap yang dianggap antara paling berkesan dalam krisis antarabangsa ITU.
Penganalisis politik Khairul Azri berkata, seramai 462 aktivis dari seluruh dunia telah ditahan oleh Israel, namun hanya 134 telah dibebaskan, manakala 328 yang lain, termasuk aktivis dari Eropah, Amerika Latin dan Afrika, masih dipenjara.

“Dalam masa tak sampai 48 jam, semua 23 rakyat Malaysia dah keluar, selamat dan kini dalam perjalanan pulang melalui Turkiye.
“Negara lain masih berunding, tapi Malaysia dah selesaikan,” katanya dalam catatan di media sosialnya.
Beliau menjelaskan bahawa kejayaan itu dicapai melalui diplomasi tiga penjuru yang tidak menggunakan sebarang hubungan rasmi dengan Israel sebaliknya melibatkan Vietnam dan Turkiye sebagai pengantara utama.
“Malaysia guna Vietnam sebagai saluran ASEAN di Israel kerana negara itu mengetuai urusan konsular ASEAN di sana, manakala Turkiye bertindak sebagai penghubung lapangan yang menguruskan pelepasan, transit dan penerbangan khas ke Istanbul,” tulisnya.
Justeru, Khairul menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kekuatan diplomasi Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra, meskipun tanpa sebarang hubungan diplomatik atau kedutaan dengan Israel.
“Itu bukan nasib. Itu hasil reputasi diplomasi Malaysia — suara kecil yang masih dihormati dunia kerana prinsipnya tak pernah tunduk pada kuasa besar,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kredibiliti Malaysia di mata Ankara dan Hanoi memainkan peranan besar dalam rundingan tersebut.
Menurutnya, kejayaan itu memperlihatkan penyatuan suara antara rakyat dan kerajaan dalam isu kemanusiaan, dengan Malaysia terus konsisten menentang kezaliman tanpa mengira bangsa atau agama.
“Malaysia mungkin kecil pada peta, tapi hari ini dunia nampak suara kecil ini masih berani melawan arus demi kemanusiaan,” tambah Khairul lagi.
BACA JUGA PM Anwar harap hubungan Malaysia–Pakistan terus subur