Diplomasi senyap Malaysia: PMX pernah diiktiraf Yassir Arafat, kini terbukti ketajaman diplomasinya

OLEH A. ZAHID

Bahasa kasarnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah berjuang jauh sebelum ramai daripada kita lahir. Dari tahun 1980-an lagi, tokoh besar dunia seperti Yassir Arafat sudah mengiktiraf kelantangan beliau dalam memperjuangkan isu Palestin dan kemanusiaan sejagat.

Namun hari ini, muncul segelintir pihak yang baru semalam tahu kewujudan gerakan Sumud Flotilla, tiba-tiba menjadi “penganalisis geopolitik” mendakwa Perdana Menteri tidak buat apa-apa.

Ironinya, orang yang dikecam itu merupakan penaung rasmi Sumud Nusantara, dan para aktivis sendiri menjadi saksi kepada sokongan senyap beliau terhadap misi kemanusiaan ini.

Kita boleh berbeza pandangan politik, itu lumrah. Tapi geopolitik bukan ruang untuk sentimen murahan. Urusan membebaskan aktivis ditahan di bawah rejim Zionis bukan boleh diselesaikan dengan retorik atau jeritan di media sosial.

Ia memerlukan strategi, hubungan antarabangsa, dan ketajaman diplomasi. Malaysia tidak memiliki hubungan rasmi dengan Israel, tiada kedutaan, tiada saluran diplomatik langsung.

Namun dalam masa tidak sampai 48 jam, semua 23 aktivis Malaysia berjaya dibebaskan dan dibawa ke Turkiye dengan selamat.

Bayangkan daripada 462 orang yang ditahan, 328 masih berada dalam penjara Zionis. Negara-negara lain, termasuk dari Eropah, Amerika Latin, dan Afrika, masih menunggu “lampu hijau” dari Tel Aviv.

Malaysia? Selesai dalam dua hari. Itu bukan kebetulan. Itu hasil kecekapan diplomasi tiga penjuru yang dijalankan secara senyap Vietnam menjadi saluran ASEAN rasmi di Israel, Turkiye sebagai pengantara lapangan, manakala Malaysia memanfaatkan reputasinya sebagai suara kecil yang berprinsip tegas dalam isu kemanusiaan.

Negara lain mungkin ada kedutaan di Israel, tapi tidak semua mampu memperoleh keputusan secepat ini.

Malaysia menunjukkan bahawa hubungan antarabangsa tidak semestinya bergantung pada kekuatan ekonomi atau ketenteraan, tetapi pada kredibiliti moral dan reputasi diplomatik.

Dunia masih menghormati Malaysia kerana prinsipnya yang tidak menjual maruah demi kepentingan kuasa besar.

Dalam banyak hal, kita boleh mengkritik PMX, tetapi kali ini wajar kita akui kehebatannya. Malaysia bukan sekadar berjaya membawa pulang warganya, tetapi juga membuktikan kepada dunia bahawa suara kecil ini masih lantang menentang kezaliman.

Rakyat dan kerajaan berdiri di sisi yang sama menolak genosida, menegakkan keadilan, tanpa tunduk kepada tekanan politik antarabangsa.

BACA JUGA Sebulan PMX dikutuk, pegawai Anwar berpelukan dengan Ustaz Mad Kechik di Istanbul