Sebulan PMX dikutuk, pegawai Anwar berpelukan dengan Ustaz Mad Kechik di Istanbul

Di saat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan pelbagai tohmahan dan kecaman, wakilnya di lapangan terus menunjukkan keprihatinan terhadap peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Dalam satu perkongsian di Facebook, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi memuat naik perkembangan terbaharu beliau bersama Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sany Araby bergerak ke Istanbul, Turkiye untuk bertemu dengan para aktivis.

Antara foto yang mencuri tumpuan adalah ketika Farhan berpelukan dengan Ustaz Mad Kechik.

“Alhamdulillah, hampir keseluruhan delegasi dalam keadaan sihat dan akan dihantar untuk pemeriksaan kesihatan sesegera mungkin. 

“Malah, mereka kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin,” katanya.

Beliau memaklumkan, kebanyakan aktivis terpaksa membuang telefon bimbit ke laut bagi mengelakkan ia dirampas tentera Israel, menyebabkan mereka kini berada jauh daripada keluarga tanpa sebarang alat komunikasi.

Atas sebab itu katanya, beliau diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk membantu segala urusan aktivis di Istanbul termasuk memastikan kepulangan mereka ke tanah air berjalan lancar.

“Kepulangan mereka kelak bukanlah pengakhiran perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin, tetapi lambang bagaimana negara kecil Malaysia ini utuh prinsipnya dan punya rakyat berani berhadapan kekejaman kuasa besar,” katanya lagi.

Beliau turut memohon doa rakyat Malaysia agar semua aktivis selamat pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

BACA JUGA Mat Sabu masuk IJN kerana simtom keletihan