Hidang arak cemar imej, AMANAH gesa MOTAC perketat garis panduan penganjuran majlis rasmi

AMANAH membantah keras hidangan arak yang dilaporkan berlaku dalam majlis dikaitkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia.

Pengerusi Biro Kesenian, Kebudayaan dan Sukan AMANAH, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, menghidangkan arak dalam acara rasmi kerajaan adalah mengecewakan dan mencemarkan imej kementerian yang sepatutnya menjadi contoh kepada nilai seni, budaya dan warisan negara.

Ujar beliau, apabila majlis rasmi kerajaan menampilkan arak secara terbuka, ia memberi gambaran salah bahawa Malaysia mempromosikan alkohol sebagai sebahagian daripada citra pelancongan, sedangkan hakikatnya rakyat Malaysia menolak budaya sedemikian.

“Kelemahan kawalan dan kepekaan yang berlaku jelas menuntut satu desakan kepada penambahbaikan segera dalam aspek pengurusan serta tata urus penganjuran majlis khususnya yang melibatkan tetamu antarabangsa dan membawa nama baik negara di peringkat global.

“Sementelahan itu, perlu diingat bahawa pelancong datang ke Malaysia bukan untuk menikmati arak tetapi untuk menghargai seni, budaya dan keramahan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini 

Wan Anwar berpendapat, kementerian tidak seharusnya tunduk kepada kehendak mana-mana pihak industri untuk membenarkan hidangan arak dalam acara rasmi kerajaan.

Susulan itu, beliau menyeru Perdana Menteri agar mengambil perhatian serius terhadap pengurusan MOTAC dan memastikan garis panduan rasmi kerajaan diperketat supaya kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.

Katanya, setiap kementerian perlu lebih peka terhadap nilai moral dan sensitiviti masyarakat, selaras dengan semangat Malaysia Madani.

BACA JUGA Sebulan PMX dikutuk, pegawai Anwar berpelukan dengan Ustaz Mad Kechik di Istanbul