Malaysia-Pakistan teguh sokong Palestin, pertahan prinsip kemanusiaan
Malaysia dan Pakistan sepakat untuk berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan sejagat bahawa segala bentuk pembunuhan dan pembantaian terhadap rakyat Palestin mesti dihentikan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif yang dalam lawatan rasminya ke Malaysia hari ini.
Muhammad Shehbaz memulakan rawatan rasmi tiga hari ke negara ini bermula semalam.
“Keutamaan harus diberikan kepada perlindungan hak asasi rakyat Palestin serta usaha yang berterusan bagi merealisasikan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat,” kata Anwar.
Dalam perkembangan lain Anwar memaklumkan, mesyuarat dua hala yang berlangsung hari ini menyaksikan pertukaran lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta satu Pertukaran Nota yang menandakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dua negara.
Ia merangkumi bidang pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan rasuah, pelancongan, dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala Pertukaran Nota memberi tumpuan kepada latihan bersama untuk para diplomat.
Dalam sidang media bersama, kedua-dua pemimpin negara turut mengulangi tekad dan aspirasi untuk terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam beberapa bidang baharu dan berimpak tinggi antaranya teknologi digital, semikonduktor, serta pendidikan STEM.
BACA JUGA Zizi Kirana dipaksa tanggalkan pakaian, tudung direntap tentera Israel