Zizi Kirana dipaksa tanggalkan pakaian, tudung direntap tentera Israel

Pendedahan demi pendedahan dikongsikan peserta Malaysia ketika misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di mana mereka menjadi saksi hidup kepada kekejaman dilakukan tentera zionis Israel.

Penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana menceritakan bagaimana dia diperlakukan secara biadab oleh tentera Israel termasuklah dipaksa menanggalkan pakaian dan mencabut tudung.

Perkongsian itu diceritakan kembali dalam pertemuan bersama Ketua Editor Media Sosial Astro Awani, Hilal Azmi.

Menurut portal terbabit, Zizi berkata dia tidak akan lupa bagaimana dia turut dihina kerana memegang al-Quran dan memakai tudung.

“Saya pakai topi, dia suruh buka topi. Bila saya nak tenangkan diri, saya nak mengaji, dia ambil al-Quran saya, tarik dan tanya, ‘what is this?’

“Saya jawab, ‘this is Quran, this is my Quran.’ Tapi dia terus rampas,” cerita Zizi.

Tambah Zizi, layanan kasar diteruskan apabila dia dibawa ke pusat imigresen Israel, di mana dirinya diperiksa secara memalukan.

“Mereka suruh buka kasut, buka stokin, saya kata tak boleh, haram. Lepas tu mereka paksa saya buka tudung. Saya cakap, “no, it’s haram, I am Muslim”. Tapi mereka tarik juga tudung saya.

“Kawan-kawan saya yang bukan Islam pun menangis tengok. Mereka jerit, ‘be strong!’ Saya cuma mampu sebut, Ya ALLAH, Ya ALLAH… sambil mereka terus periksa dan suruh saya buka semua pakaian,” katanya seperti dilapor.

Dalam pertemuan itu, Zizi turut menceritakan bagaimana dirinya dipaksa memakai pakaian penjara, tanpa tudung dan tanpa maruah, namun, tetap tegas mempertahankan prinsipnya sebagai seorang Muslim.

“Sampai di penjara pun mereka tak bagi pakai hijab. Inner baju saya digunting, kasut ditarik, tudung saya direntap lagi sebelum naik bas ke penjara. Tapi saya tetap pegang sisa hijab saya yang tinggal.”

BACA JUGA Isu Kg Sungai Baru: Sultan Selangor ambil maklum, baca kenyataan Ambrin Buang