Laungan Allahu Akbar, ‘Free Palestin’ bergema di KLIA malam ini
Laungan takbir ‘Allahu Akbar’ dan sorakan ‘Free Palestin’ bergema di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) malam ini.
Keterujaan orang ramai sambil mengibarkan bendera Malaysia dan Palestin itu menyambut kepulangan 23 sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza.
Mereka dibebaskan selepas diculik pengganas Israel ketika kapal-kapal misi GSF berada di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean pada 2 Oktober.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor memimpin bacaan doa dalam sidang media meraikan wira GSF terbabit.
Seterusnya, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan menyatakan rasa syukur atas kepulangan kesemua sukarelawan terbabit ke tanah air yang digelar beliau sebagai “sahabat-sahabat”.
“Kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha beliau dengan tahap diplomasi tertinggi beliau bersama-sama kepimpinan negara-negara sahabat seperti Turki, Mesir dan Jordan.
“Kerajaan Türkiye telah pun bersama-sama membawa keluar rakyat Malaysia yang ditahan secara haram di penjara Israel,” ujarnya.

Kesemua 23 aktivis Sumud Nusantara terbabit yang diterbangkan dengan pesawat Emirates EK342 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendarat kira-kira jam 10.07 malam.

Sejak 8 malam, ratusan penyokong berkumpul memenuhi Balai Ketibaan dengan turut menyanyikan lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’.


BACA JUGA Perlekeh misi Global Sumud Flotilla ke Gaza sama macam cicak