Gagal hadir mahkamah, pemimpin Pas Melaka kena waran tangkap di bawah Akta SKMM
Seorang pemimpin Pas di Melaka, Azmi Aziz dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pagi tadi bagi sebutan kes di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Tertuduh dikenal pasti sebagai Ketua Cawangan Pas di salah sebuah kawasan di Melaka.
Menurut sumber, tertuduh yang menggunakan akaun Facebook Azmi Haji Aziz telah memuat naik kartun diubah suai yang berunsur penghinaan.
“Kes ini berkait dengan posting kartun ubah suai yang dikatakan berunsur penghinaan dan gangguan terhadap pihak lain, dengan elemen politik jelas dalam kandungannya,” katanya.

Difahamkan, pemimpin Pas berkenaan telah menyunting semula satu karikatur asal karya pelukis Zunar.
Karikatur itu menyebut “kalaulah ada game ini di olimpik…” bersama grafik penunggang agama.
Dalam versi yang disunting, tulisan asal digantikan dengan perkataan lain termasuk “planta” dan “mengunyit”, yang mempunyai unsur penghinaan dan fitnah.
“Mahkamah mengesahkan saman telah diserahkan pada 30 September 2025, namun tertuduh gagal hadir tanpa alasan.
“Susulan itu, waran tangkap telah dikeluarkan hari ini (semalam). Tarikh sebutan semula (untuk waran) pada 6 November depan,” katanya lagi.
Kebelakangan ini, ramai pemimpin Pas terpalit saman kerana fitnah, menghina dan menyebarkan maklumat palsu di media sosial.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan sejauh mana parti mengawal disiplin ahlinya.
Kes terbaharu membabitkan Ketua Cawangan Pas Melaka itu memperlihatkan bahawa tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan media sosial kini semakin tegas, sejajar dengan usaha pihak berkuasa mengekang penyebaran kandungan tidak bertanggungjawab di sosial media.
BACA JUGA Perlekeh misi Global Sumud Flotilla ke Gaza sama macam cicak