Panggilan ‘IOF’ sengaja diguna dedah perangai sebenar tentera Israel
Penggunaan istilah ‘IOF’ atau Israeli Occupation Forces (Tentera Penjajahan Israel) oleh aktivis kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bukan satu kekeliruan.
Pemerhati sosial, Ezreen Muhaizie Marzukhi berkata, penggunaan IOF disengajakan bagi menyampaikan mesej politik yang jelas kepada dunia.
Menurutnya, dalam sebaran klip video kru FFC yang tersebar, aktivis terbabit secara konsisten menyebut bahawa mereka “ditahan oleh IOF” walaupun nama rasmi tentera Israel ialah Israel Defense Forces (IDF).
“Aktivis berpengalaman seperti FFC ini mahu dunia sedar bahawa tentera Israel bukan pasukan pertahanan seperti digambarkan, tetapi pasukan penjajah dan perampas,” jelasnya.
Ezreen menambah, istilah ‘IOF’ digunakan secara simbolik untuk mendedahkan hakikat bahawa penubuhan dan tindakan tentera Israel selama ini lebih menjurus kepada penjajahan wilayah Palestin serta penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Maka, lebih tepat mereka dikenali sebagai Israeli Occupation Forces, bukan Defense Forces,” tegas beliau lagi.
Menerusi video dikongsikan MyCare, Dr Fauziah Hassan yang menaiki kapal Conscience antara lain menegaskan bahawa beliau telah ditahan oleh IOF.
Selain Dr Fauziah, lapan rakyat Malaysia lagi telah ditahan oleh rejim pengganas Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan FFC ke Gaza dipintas pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Mereka adalah ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis ialah pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Turut diculik rejim zionis, seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad yang menaiki kapal Umm Saad.
Kesemua aktivis terbabit mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza.
Misi di bawah gabungan FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.
Gelombang pertama flotilla pada Jun lalu menyaksikan aktivis alam sekitar tersohor Greta Thunberg dari Sweden, bersama 11 yang lain diculik Israel ketika menaiki kapal bantuan Madleen ke Gaza.
Seterusnya, gelombang kedua hasil inisiatif antarabangsa Global Sumud Flotilla (GSF) dan kesemua mereka turut ditangkap oleh tentera Israel dan kini sudah dibebaskan.
BACA JUGA Bila dunia membisu, Greta lantang bersuara