Polis siasat pikap pasang pelekat bahasa Israel, ‘Malaysia di tangan kami’

Sejak semalam tular satu video sebuah pikap jenis Isuzu didakwa memasang satu pelekat dalam tulisan Israel yang membawa maksud “Malaysia di tangan kami”.

Kejadian dipercayai berlaku di Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya telah pun membuka kertas siasatan berhubung aduan video tular tersebut.

Menurut beliau, siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

“PDRM menerima laporan pada jam 3.32 petang semalam daripada seorang lelaki yang juga pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka.

“Pengadu membuat laporan selepas melihat video berdurasi 14 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Isuzu dipasang pelekat bertulisan Hebrew di bahagian badan kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Siasatan awal mengesahkan tulisan terbabit membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita/ Malaysia di tangan kami’.

Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi

BACA JUGA Gagal hadir mahkamah, pemimpin Pas Melaka kena waran tangkap di bawah Akta SKMM