Bayaran pampasan penduduk tidak setuju pembangunan Kampung Sungai Baru dah lama selesai

Kerajaan mengesahkan telah pun menyelesaikan bayaran pampasan penduduk Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan kawasan tersebut sejak dua tahun lalu.

Pampasan ini membabitkan bayaran antara RM198,000 hingga RM2.9 juta mengikut kategori rumah.

Bagi lot teres, nilai pampasan adalah antara RM800,000 hingga RM2.9 juta manakala bagi unit flat pula antara RM198,000 hingga RM350,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, semua bayaran pampasan telah pun selesai disalurkan kepada penduduk antara Februari 2022 hingga Januari 2023.

Beliau berkata, jumlah pampasan yang ditawarkan kepada penduduk ketika pengambilan tanah berlaku adalah lebih menguntungkan berbanding nilai sebenar pasaran.

Mengenai bantahan pampasan difailkan di mahkamah, Dr Zaliha berkata, kerajaan akan menghormati apa jua keputusan mahkamah.

“Sekiranya mahkamah memutuskan pemaju perlu menaikkan nilai pampasan, pemaju perlu melaksanakannya. 

“Namun, jika mahkamah memutuskan nilai pampasan itu kekal maka pemilik juga perlu akur dan menghormati keputusan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Namun begitu kata beliau, perbicaraan kes ini tidak menghalang pembangunan Kampung Sungai Baru diteruskan.

BACA JUGA Tiada pemalsuan dokumen tujuh pemain, ini intipati penting penjelasan Saifuddin di Parlimen