Kerajaan tak pernah terlibat pemilihan pemaju Kampung Sungai Baru

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan, kerajaan tidak pernah terlibat atau campur tangan dalam pemilihan pemaju untuk pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

Beliau berkata, dakwaan segelintir pihak termasuklah  beberapa wakil rakyat yang membuat tuduhan tersebut adalah tidak berasas.

Menurutnya, pemilihan pemaju telah dibuat sendiri oleh penduduk yang mahukan pembangunan semula kawasan mereka.

Malah, pada 2010 lagi mereka telah menubuhkan satu persatuan iaitu Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru sebagai usaha untuk menggerakkan pembangunan kediaman mereka.

“Untuk makluman, penduduklah yang sebenarnya bersetuju sendiri mencari, memilih dan melantik pemaju yang mereka inginkan tanpa ada campur tangan daripada kerajaan.

“Penduduk yang bersetuju untuk membangunkan semula Kampung Sungai Baru telah menubuhkan sebuah persatuan pada 2010.

“Persatuan ini dinamakan sebagai persatuan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru sebagai usaha untuk menggerakkan pembangunan semula kawasan tersebut yang melibatkan 328 unit hartanah iaitu 264 unit flat dan 64 lagi unit teres,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru mengesahkan bahawa pihak kerajaan tidak campur tangan dari awal projek ini dilaksanakan.

Menurutnya, projek ini merupakan inisiatif kerjasama swasta di antara pemilik lot teres dan unit flat PKNS Sungai Baru dengan pihak pemaju.

Persatuan pemilik (Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru) telah menjalankan inisiatif sendiri untuk mendapatkan pemaju tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Justeru, pihak kerajaan tidak mempunyai kepentingan ke atas projek ini

BACA JUGA Global Travel Meet mulanya program kerajaan, tapi diambil alih pemain industri – Tiong