LRA Sungai Limau kini terbengkalai, Akmal kritik Sanusi – “kalau saya jadi dia saya malu”

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Akmal Nasir mengkritik kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kegagalan menyiapkan dua projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri itu, termasuk Projek LRA Sungai Limau yang kini diisytihar terbengkalai.

Menurut Akmal, walaupun projek berkenaan bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya, namun beliau pula yang terpaksa menjawab di Dewan Rakyat apabila ia dikategorikan sebagai projek bermasalah.

“Padahal projek ini tidak dilaksanakan langsung oleh PETRA (agansi bawah kementerian). Kerajaan Persekutuan hanya beri dana melalui geran. 

“Macam buat assignment, orang dari kelas lain tak siap tapi saya pula kena panggil menjawab,” katanya selepas menggulung laporan LKAN hari ini.

Beliau berkata, kontraktor bagi Projek LRA Sungai Limau kini telah ditamatkan selepas projek itu terbengkalai tanpa kemajuan ketara.

“Bila audit tegur, bersepah masalah dekat bawah ini, takkan saya nak biarkan Kedah dekat dia (Sanusi) sorang-sorang.

Saya rasa dia tak mampu nak selesaikan sekarang ini,” katanya dalam video pendek yang dimuat naik di media sosial.

Akmal berkata, beliau sebelum ini sengaja tidak turun ke Kedah bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri menyelesaikan kerja di lapangan, namun terpaksa turun semula selepas mendapati projek berkenaan masih gagal disiapkan.

“Bila saya tengok tak nampak projek LRA ini on track, akhirnya saya lipat lengan baju dan turun sendiri ke tapak. Tapi bila saya turun, saya pula dituduh sibuk, kononnya tiada dalam carta kerja.

“Yang menjawab perbahasan LKAN tentang projek ini, saya. Prestasi projek terjejas sebab LRA ini, kementerian kami. Tapi yang penting, rakyat Kedah yang merana sebab tak dapat air bersih,” tegasnya.

Akmal turut memberi amaran bahawa selepas ini kementeriannya akan meneliti pula projek LRA di negeri lain termasuk Kelantan, agar kegagalan seperti di Kedah tidak berulang.

“Berapa banyak pihak yang sudah disusahkan sebab projek LRA jadi terbengkalai ?Kalau saya jadi dia (Sanusi), saya malu,” katanya.

BACA JUGA Bayaran pampasan penduduk tidak setuju pembangunan Kampung Sungai Baru dah lama selesai