PU Rahmat anggap sama humoris dengan PMX, ramai kecam anggap pendakwah biadab
Pendakwah yang juga aktivis, PU Rahmat menganggap dirinya sama humoris dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Biasa kalau bukan humoris ni tak best kalau lepak kedai mamak. PMX santai tapi korang beria bantai,” tulisnya tengah malam tadi.
Kenyataan PU Rahmat itu selepas gurauan kasar pemuda berkenaan yang menyebut ‘sama-sama banduan’ bagi merujuk persamaan dirinya dengan Anwar dihujani kecaman orang ramai.
PU Rahmat atau nama sebenarnya, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan itu menyebut ungkapan itu semasa berucap di pentas Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Ekoran cemuhan warganet, Rahmat memohon maaf atas gurauan yang dinilai banyak pihak sebagai tidak bertempat itu.
“Maaf jika gurauan ‘sama-sama banduan’ tidak bagus kerana PMX juga bergurau dengan saya gurauan yang sama.
“Kadang kita kena belajar seperti PMX yang humoris. Apa pun saya juga belajar tidak bergurau begitu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Rata-rata mengingatkan PU Rahmat mengenai adab serta kesesuaian khalayak dan tempat ketika mahu bergurau.
“Beza melawak sambil mengopi dengan melawak atas pentas live yang dipertontonkan berjuta rakyat. Jatuh air muka orang tu. Bawak bertaubat jangan rasa diri sentiasa betul. Ucapan artis lagi sopan dan beradab berbanding ucapan anda yang so called ‘pendakwah’,” bidas Aimie Sarah.
Sementara itu, A Amri Abd Rahim menulis, “sehumor mana pun kita, adab kena ada. Hormat tuan-tuan guru dan agamawan sekeliling majlis..”.
BACA JUGA Trump dakwa Israel dan Hamas telah menyetujui fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza