Trump dakwa Israel dan Hamas telah menyetujui fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, Hamas dan Israel telah bersetuju dengan fasa pertama rancangan gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza.

“Saya sangat bangga untuk mengumumkan bahawa Israel dan Hamas sama-sama telah menandatangani Fasa Pertama Pelan Keamanan kita,” tulis Trump di platform Truth Social.

Memetik Al Jazeera, Trump juga berkata bahawa semua tebusan akan dibebaskan segera, dan Israel akan menarik tenteranya.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Negeri Qatar, Majed al-Ansari memaklumkan persetujuan telah dicapai mengenai semua peruntukan dan mekanisme pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza.

Majed menerusi platform X berkata, perjanjian gencatan senjata Gaza itu akan membawa kepada menamatkan perang, pembebasan tebusan Israel dan tahanan Palestin, dan kemasukan bantuan.

Tambahnya, butiran berkenaan perjanjian itu akan diumumkan kemudian.

Menurut penganalisis politik Al Jazeera, Marwan Bishara, rundingan itu tetap tegang kerana terdapat perbezaan dalam butiran penting, antaranya tempoh pengunduran Israel, susunan pemerintahan Gaza selepas perang, dan nasib Hamas.

Situasi di lapangan semasa rundingan tersebut berlangsung masih menyaksikan Israel mengganas di Gaza dengan serangan bertalu-talu.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 61 cedera dalam tempoh 24 jam sebelum laporan itu disiarkan.

Dalam tempoh lima hari, Israel dilapor melakukan 271 serangan udara dan artileri ke atas kawasan yang padat penduduk, mengakibatkan kematian 126 orang awam, antaranya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa hanya 14 daripada 36 hospital di Gaza berfungsi sebahagiannya, dan hanya sepertiga daripada 176 pusat rawatan asas beroperasi.

BACA JUGA Perlekeh misi Global Sumud Flotilla ke Gaza sama macam cicak