Saksi beritahu ada pelajar pindah sekolah lepas kes Zara Qairina
Mahkamah Koroner telah diberitahu bahawa beberapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar telah berpindah sekolah selepas insiden yang menimpa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Menurut saksi kesepuluh, pelajar-pelajar yang berpindah itu merupakan ahli kumpulan ‘Circle-19’.
‘Circle-19’ bermaksud kumpulan tersebut mempunyai 19 ahli dan mereka adalah kawan rapat.
Saksi kesepuluh ini merupakan ahli kumpulan tersebut. Namun dia dan beberapa rakan lain sudah tidak tinggal di asrama sejak September lepas, tetapi masih lagi bersekolah di sekolah sama.
Menurut peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata, saksi ada berjumpa Zara Qairina pada malam 15 Julai.
Ini kerana rakan sebilik saksi mendakwa dompet mengandungi duit dan kad pengenalan hilang.
Rakan sebilik saksi mengesyaki Zara Qairina mengambil barang tersebut.
Peguam berkata, saksi telah memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina hanya mengetahui tentang kehilangan barang tersebut apabila ditanya, tetapi menafikan telah mengambilnya, dan saksi juga memberitahu bahawa dia tidak memarahi Zara Qairina.
Saksi berkata, ketika dia ingin mengarahkan Zara Qairina pulang ke biliknya, seorang masuk dan bertanya kepada remaja tersebut sama ada dia mengambil barang milik rakannya itu.
“Menurut saksi, dia berkata ‘kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah’ namun Zara Qairina tidak mengaku. Saksi juga berkata dia melihat reaksi Zara Qairina adalah normal dan menjawab seperti biasa,” katanya.
BACA JUGA LRA Sungai Limau kini terbengkalai, Akmal kritik Sanusi – “kalau saya jadi dia saya malu”