Simpan Tafsir al-Alusi boleh dapat rumah percuma?

Pendakwah Mohd Nazrul Abd Nasir mendakwa sesiapa yang berusaha membeli Tafsir al-Alusi dan memiliki karya ditulis ulama dari Baghdad sekitar abad ke-19 itu akan Allah mudahkan urusan.

Nazrul yang juga penerima Anugerah Sahabat Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) 2024 itu berkata, menyimpan Tafsir al-Alusi di rumah akan dimudahkan Allah untuk mendapatkan rumah secara percuma.

“Syeikh ni (asal Syria) sebut siapa yang berusaha beli Tafsir al-Alusi dan ada dalam rumah sahaja, Insya-Allah, Allah akan mudahkan urusan dia untuk mendapatkan rumah secara percuma. Insya-Allah.

“Tak lama selepas itu, ada orang bagi rumah percuma tanpa perlu keluar walau 1 lira. Dia orang Syria,” katanya dalam satu sedutan audio siar yang kemudian tular di media sosial.

Kenyataan Nazrul itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang menganggap dakwaan tersebut tidak bersandarkan hujah agama yang kukuh dan boleh mengelirukan masyarakat awam.

Antaranya, menerusi catatan di laman sosial, Nik Lee menyifatkan kenyataan Nazrul itu sebagai “bodoh dan memperbodohkan masyarakat”.

Sebahagian pengguna media sosial turut mengingatkan agar golongan penceramah berhati-hati dalam membuat kenyataan berkaitan fadilat dan keberkatan amalan, terutama apabila melibatkan ganjaran duniawi yang tidak mempunyai sandaran sahih.

BACA JUGA Kekal potong 20 peratus gaji Jemaah Menteri