Belanjawan Bela Rakyat 2026: Kerajaan MADANI pilih tadbir urus telus bukan cukai baharu

Oleh DR MUJAHID YUSOF RAWA

Perbelanjaan negara berjumlah RM470 bilion dengan unjuran hasil sebanyak RM343.1 bilion menjadikan Belanjawan 2026 sebagai sebuah belanjawan defisit yang mencabar.

Namun, Kerajaan MADANI memilih untuk memperkukuh tadbir urus dan ketelusan, bukannya membebankan rakyat dengan peningkatan cukai baharu.

Langkah-langkah yang diambil termasuklah mempertingkat penguatkuasaan cukai sedia ada, membanteras ketirisan, serta menghapuskan jaringan kartel yang merugikan hasil negara.

Melalui strategi ini, kerajaan telah menjimatkan RM15.5 bilion setahun satu kejayaan besar dalam memastikan wang rakyat diurus dengan penuh amanah.

Dalam usaha mengurangkan defisit fiskal, kerajaan menyasarkan pengawalan defisit pada kadar 3.5% menjelang 2026, dengan pertumbuhan KDNK antara 4.0% hingga 4.5%.

Walaupun unjuran ini sedikit rendah berbanding 2025 akibat ketidaktentuan global seperti tarif perdagangan baharu Amerika, ia tetap mencerminkan fundamental ekonomi negara yang kukuh.

Tumpuan utama seterusnya ialah untuk membangunkan ekonomi baharu dan tenaga baharu sebagai enjin pertumbuhan masa depan, seiring dengan hala tuju RMK-13 yang menekankan keseimbangan antara kebajikan rakyat (lantai) dan kemakmuran ekonomi (siling).

Fokus Utama Belanjawan Bela Rakyat

Belanjawan ini mengekalkan peruntukan RM13 bilion bagi program SARA dan STR, selain memperkenalkan beberapa inisiatif penting untuk membela rakyat:

Subsidi BUDI95 diperluas kepada pemandu e-hailing dan pemilik perahu, memperluas manfaat kepada golongan berpendapatan sederhana dan kecil.

Perangi rasuah dan ketirisan RM15.5 bilion wang negara diselamatkan tambahan RM700 juta disalurkan bagi memperkukuh SPRM dan PDRM.

Pembangunan luar bandar pembinaan jalan baharu, klinik desa dan projek tebatan banjir diteruskan.

Langkawi dan Labuan kawalan terhadap pengecualian cukai berlebihan bagi menjamin keadilan fiskal.

Digital MADANI pembinaan Kiosk MADANI di setiap negeri serta peluasan penggunaan MyDigital ID kepada 15 juta rakyat.

Ekonomi desa peruntukan RM1 bilion bagi menjana ekonomi kampung dengan memberi peranan aktif kepada anak muda.

Tarikan pelabur asing kemudahan ‘Investor Pass’ dan ‘Status ABE’ diperkenalkan bagi mempercepat kemasukan pelabur berkualiti.

Reformasi Tadbir Urus dan Institusi

Belanjawan ini turut memberi penekanan kepada reformasi sistem dan tatakelola negara.

Komitmen terhadap FRA (Fiscal Responsibility Act) dan pendigitalan kerajaan menjadi teras untuk mengelak ketirisan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Usaha memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya diteruskan bagi memperkukuh keyakinan terhadap sistem keadilan negara. Langkah ini amat penting dalam memulihkan imej Malaysia selepas pelbagai kes rasuah berprofil tinggi seperti 1MDB.

Di Parlimen pula, institusi legislatif diperkasakan melalui peruntukan RM220 juta kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, memperkukuh peranan semak dan imbang yang menjadi asas demokrasi matang.

Menangani Ketidaktentuan Global

Belanjawan 2026 disusun dalam suasana ekonomi dunia yang perlahan dan geopolitik yang tidak menentu.

Namun, semangat dan falsafah MADANI kekal menjadi panduan dalam menguruskan ketidaktentuan ini berpaksikan ihsan, kebertanggungjawaban dan keadilan sosial.

Dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang berpengalaman dan berwawasan, saya yakin Belanjawan Bela Rakyat ini akan terus memastikan rakyat terbela, ekonomi berkembang, dan keadilan terjamin.

*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Ahli Dewan Negara.

BACA JUGA Kekal potong 20 peratus gaji Jemaah Menteri