Hamas dakwa terima jaminan “perang di Gaza tamat sepenuhnya”
Pemimpin kanan Hamas, Khalil al-Hayya mengumumkan telah menerima jaminan daripada Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara perantara rundingan damai dengan Israel bahawa “perang di Gaza telah tamat sepenuhnya.”
Dalam ucapan disiarkan di televisyen malam tadi, Hayya memaklumkan, jaminan itu merangkumi gencatan senjata kekal, pengunduran tentera Israel, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pembukaan semula lintasan Rafah.
“Hari ini kami mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai untuk menamatkan perang dan pencerobohan terhadap rakyat kami serta memulakan pelaksanaan gencatan senjata kekal dan pengunduran pasukan pendudukan,” kata Khalil al-Hayya menurut AFP.
Beliau turut menjelaskan, butiran mengenai pertukaran tahanan yang dipersetujui dalam perjanjian itu – termasuk pembebasan 250 tahanan Palestin yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, 1,700 penduduk Gaza yang ditahan selepas 7 Oktober serta semua wanita dan kanak-kanak Palestin dalam tahanan Israel.
Menurut Hayya, Hamas kini sedang melengkapkan pelaksanaan peringkat akhir perjanjian berkenaan.
Sebagai peringatan, kerajaan Israel masih belum mengesahkan perjanjian gencatan senjata itu, manakala Israel dan Amerika Syarikat juga belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan Hamas tersebut.
BACA JUGA Nantikan Belanjawan 2026 petang ini, belanjawan keempat Kerajaan MADANI