Nantikan Belanjawan 2026 petang ini, belanjawan keempat Kerajaan MADANI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijangka akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada jam 4 petang ini.
Walau perinciannya belum diketahui, namun setiap inisiatif yang akan diumum pasti menjanjikan limpahan manfaat buat seluruh rakyat
Bertemakan ‘Memacu Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’, ia adalah belanjawan keempat oleh kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar.
Belanjawan 2026 kali ini adalah belanjawan sulung yang mendukung matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan akan menumpukan kepada tiga teras utama iaitu menaikkan siling, menaikkan lantai serta memperkukuh tatakelola baik dalam pentadbiran negara.
Sejak tiga tahun kebelakangan ini, peruntukan belanjawan negara terus menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
Pada Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion untuk pembangunan.
Jumlah itu meningkat sedikit dalam Belanjawan 2024 kepada RM393.8 bilion, merangkumi RM303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM90 bilion untuk pembangunan.
Belanjawan 2025 pula mencatat rekod baharu apabila diumumkan sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara, dengan jumlah keseluruhan RM421 bilion meliputi kira-kira RM335 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk pembangunan.
Kenaikan berterusan ini sekali gus menimbulkan minat pemerhati dan rakyat yang menantikan perkembangan Belanjawan 2026.
BACA JUGA Saksi beritahu ada pelajar pindah sekolah lepas kes Zara Qairina