Hannah Yeoh tegur cubaan salah tafsir hantaran lama isu kanak-kanak tanpa kerakyatan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi respon terhadap tindakan pihak tertentu yang membangkitkan semula hantaran lamanya pada tahun 2022 berkaitan isu kanak-kanak yang sukar mendapatkan kerakyatan.

Beliau pada waktu itu telah menyuarakan kritikan terhadap kerajaan kerana seolah-olah hanya memberi perhatian kepada isu kanak-kanak tanpa kerakyatan hanya apabila mereka terlibat dalam sukan seperti bola sepak.

Menurut Hannah, hantaran berkenaan dibuat ketika beliau masih berada di blok pembangkang, di mana pada ketika itu kerajaan belum menubuhkan sebarang jabatan khusus untuk melindungi kebajikan kanak-kanak.

“Ada pihak yang mengungkit hantaran lama saya bertarikh 2022 untuk menunjukkan kononnya wujud unsur tidak konsisten. Tetapi fakta hari ini sangat berbeza. Kerajaan MADANI memberikan keutamaan kepada kanak-kanak.

“Kerajaan telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak pada tahun 2023 di bawah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Sri Nancy Haji Shukri.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyelesaikan 49,000 permohonan kewarganegaraan/tiada kerakyatan yang tertunggak,” katanya.

Beliau menambah, di bawah kepimpinan Saifuddin juga, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara, satu langkah penting dalam memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak.

Menurut Hannah, tindakan pihak tertentu yang mengungkit hantaran lama tanpa melihat perubahan dasar semasa menggambarkan kegagalan mereka membezakan antara fakta dan persepsi.

“Berdasarkan pengetahuan saya, belum ada Menteri Dalam Negeri yang menunjukkan sifat belas ihsan dan kecekapan seperti yang dilakukan oleh Saifuddin. 

“Membezakan fakta adalah satu latihan yang sangat penting dalam dunia digital hari ini. Cybertrooper dan segelintir ahli politik gemar memilih hantaran secara rawak tanpa menggunakan daya fikir yang kritis,” ujarnya.

BACA JUGA Hamas dakwa terima jaminan “perang di Gaza tamat sepenuhnya”