Israel sahkan perjanjian gencatan senjata Gaza, pertukaran tawanan dengan Hamas

Israel telah mengesahkan perjanjian gencatan senjata Gaza dengan Hamas, menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Lapor Al Jazeera, undian yang berlangsung awal pagi ini membuka jalan kepada penggantungan pertempuran di Gaza dalam tempoh 24 jam, serta pembebasan 48 tawanan Israel termasuk 20 orang yang dipercayai masih hidup dalam tempoh 72 jam selepas itu.

Undian itu berlangsung sehari selepas para pengantara mengumumkan bahawa telah tercapai satu perjanjian antara Israel dan Hamas mengenai gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tawanan yang ditahan di Gaza dengan banduan Palestin di penjara Israel.

Perjanjian itu yang merangkumi fasa pertama daripada pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menamatkan perang juga menghendaki Israel menarik balik tenteranya ke “garisan yang dipersetujui,” menurut Trump.

Sebelum ini, jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian, dilapor berkata, Israel tidak bercadang untuk membebaskan pemimpin Palestin yang dipenjarakan, Marwan Barghouti, sebagai sebahagian daripada pertukaran tersebut.

Dia turut mendakwa bahawa Israel masih akan mengawal lebih separuh wilayah Gaza selepas menarik balik tenteranya seperti yang dikehendaki di bawah perjanjian itu.

Semalam, Trump dalam kenyataannya berkata, tawanan Israel akan dibebaskan dari Gaza pada “Isnin atau Selasa”, dan beliau berharap dapat menghadiri majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata di Mesir.

BACA JUGA PU Rahmat anggap sama humoris dengan PMX, ramai kecam anggap pendakwah biadab