Pemulihan dana RM5 bilion hasil kes rasuah: Ini 7 Pencapaian dan 9 Reformasi Besar Kerajaan Madani

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, menegaskan kejayaan pentadbiran MADANI bukan sekadar angka ekonomi, tetapi cerminan kecekapan dasar dan keutuhan tadbir urus yang semakin diyakini rakyat serta pelabur.

Dalam ucapan di Majlis Perayaan Pertengahan Musim Luruh DAP Tawau, Nga yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP menyenaraikan tujuh pencapaian utama dan sembilan reformasi besar yang dilaksanakan di bawah pentadbiran MADANI.

Antara kejayaan ketara termasuk pertumbuhan ekonomi 5.1% tahun lalu lebih tinggi daripada jangkaan pasara serta pengukuhan nilai Ringgit melebihi 20%, menjadikannya antara mata wang paling kukuh di dunia bagi tahun 2025.

Inflasi kekal terkawal di bawah 2%, kadar pengangguran menurun ke 3.1%, manakala pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan mencapai RM378.5 bilion tertinggi dalam sejarah negara.

Dalam masa sama, nilai dagangan melepasi RM2 trilion dan kedudukan daya saing global Malaysia melonjak daripada tangga ke-34 kepada ke-23 dunia.

Lebih penting, Nga menekankan bahawa kemajuan ekonomi ini disokong oleh reformasi institusi yang berani.

Antara reformasi tersebut termasuk pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan diesel dengan penjimatan RM10 bilion, pemulihan dana RM5 bilion hasil kes rasuah, serta pembaharuan skim pencen yang bakal menjimatkan RM43 bilion.

Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, menegakkan pemisahan kuasa antara badan legislatif dan eksekutif, meluluskan Akta Majlis Media 2025, memperkukuh kebebasan media, dan memisahkan Pejabat Peguam Negara daripada Pendakwa Raya di peringkat Kabinet.

Melihat keseluruhannya, pentadbiran MADANI dilihat bukan sahaja menstabilkan ekonomi tetapi juga menstruktur semula sistem pentadbiran negara.

Dalam konteks inilah kenyataan Nga bahawa “Malaysia kini berada di landasan yang betul di bawah kepimpinan berwawasan kerajaan MADANI” memberi makna besar bahawa reformasi bukan sekadar slogan, tetapi sedang diterjemahkan menjadi realiti yang membawa harapan baharu untuk rakyat.

BACA JUGA: Kekurangan Tenaga Kerja Tempatan, Kerajaan MADANI Pergiat Kempen Tarik Anak Tempatan Sertai Industri Maritim