Sembilan wira selamat tiba di Istanbul, ini penghargaan PM Anwar kepada Turkiye
Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye yang membantu mempermudah urusan membawa sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) keluar dari Israel.
“Syukur ke hadrat Allah SWT, sembilan lagi wira dan wirawati kita selamat tiba di Istanbul, Turkiye,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Perdana Menteri berkata, jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Semua rakyat Malaysia itu telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turkiye pada 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara.
Mereka menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada 8 Oktober lalu.
Susulan itu, kapal-kapal itu ditunda ke Pelabuhan Ashdod sebelum para aktivis terbabit dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.
BACA JUGA Simpan Tafsir al-Alusi boleh dapat rumah percuma? Pendakwah ini cetus persoalan ramai